Tuesday, April 26, 2011

Bicara Cinta

Cinta yang hakiki ialah cinta oleh akal dan hati…..hebat kan??? Tanpa melihat atau berjumpa, ia sudah bertaut dan dapat dirasa karena bersatu adalah hati, bukannya fizikal dan ia disatukan oleh tali Allah dan BUKANNYA oleh nafsu dan kepentingan diri.
Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Begitulah cinta, ia adalah kuasa, tetapi kuasa itu memerlukan peraturan dan kawalan. Sebagaimana jasad memerlukan makanan, begitu juga halnya dengan jiwa yang memerlukan cinta. Allah menciptakan naluri tersebut kerana ingin menyelamatkan, membahagiakan dan mententeramkan jiwa manusia. Tetapi cinta sekarang banyak meruntuhkan erti kemanusiaan itu sendiri. Bukannya menyelamatkan tetapi merosakkan.
Hukum cinta perlu dipatuhi agar maksud penciptaanya tercapai. Cintailah sesiapapun, asalkan cinta itu dapat memberi lorong yang sebaik-baiknya untuk terus menyintai Allah. Cinta itu harus dibina diatas dasar cinta kepada Allah. Sebagai bukti, kita akan mendahulukan kehendak kecintaan kita kepada Allah melebihi kehendak kecintaan kita kepada yang lain. Cinta harus tumbuh atas dasar tapak yang murni yang selalunya didorong oleh faktor agama, akhlak, kewibawaan dan keperibadian yang baik. Dorongan dan rangsangan yang menyuburkan cinta ini tidak memerlukan kata-kata luahan yang indah, namun body language sudah cukup membuktikan betapa dalamnya cinta.
Kebiasaannya cinta yang suci akan membawa ke gerbang perkahwinan, untuk bercinta lagi dengan seribu keindahan. Bahkan jika diizinkan Allah, ia akan bersambung di akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di akhirat. Jikalau cinta seseorang itu benar-benar hanya kerana Allah, dia akan lebih khusyuk selalu dalam solatnya dan semakin bertambah pula amal ibadatnya…….
Pertemuan menghadiahkan kita kasih sayang
Jika cinta satu pasti bertemu
Ia tidak ternilai
Kerana antara hati kita
Tiada antaranya lagi
Yang ada hanya cinta kasih Ilahi
Kita berpisah hanya sementara
Kerana pertemuan bukan milik kita
Jasad dan suara berjauhan sentiasa
Namun cinta abadi
Biar berpisah selalu menderita
Kerana syurga menagih ujian
Sedang neraka dipagari oleh nikmat
Bertemu tidak jemu
Berpisah tak gelisah
Bicara kita adalah bicara sufi
Tanpa suara dan kata-kata
Kerana penghubung kita adalah suara hati
Bertemu berpisah karena Allah…

Kasih sayang dan cinta ada dimana-mana. Sejak dahulu, kini dan selamanya…… kasih sayang tetap ada. Kita, makhluk bernama manusia ini memang diciptakan, memang dilahirkan atas dasar cinta. Kita membesar dengan belaian penuh kasih sayang orang-orang tercinta. Bila telah dewasa kita belajar tentang kasih sayang dan cinta juga. Tentang betapa besar, betapa luasnya pengertian kasih sayang dan cinta itu. Kita mungkin tak mampu untuk menafsir keseluruhan erti kasih sayang dan cinta itu sampai bila-bila pun, kerana ia terlalu besar maknanya.
Ada waktu-waktunya, kasih sayang dan cinta itu memang sukar untuk dimengerti. Kasih sayang dan cinta itu ada dalam diri setiap daripada kita, namun kadang kala kita biarkan saja ia begitu. kAdang kala kita langsung tak menghargainya. Ada waktu pula kita bingung kerananya. Malah, tak kurang ada yang menganggap kasih sayang dan cinta itu tak berharga.
Di atas kasih sayang dan cinta lahirlah bahagia. Ada yang mengatakan kerana kasih sayang dan cinta jugalah yang melahirkan derita. Bagaimanapun sebenarnya kasih sayang dan cinta itu adalah suci. Jika ada diantara kita merasakan ia membawa derita, fikirlah kembali, fikirlah berkali-kali……renungkan jauh kedasar hati, muhasabahlah diri. Apa-apapun keburukan dan kekurangan itu adalah sesuatu yang menjadi milik kita sebagai makhluk tidak perfect!
Bahagia itu satu anugerah, namun juga merupakan satu dugaan. Seperti derita, ia juga ‘diberikan’ kepada kita kerana sebab-sebab tertentu. Mahu beri kita petunjuk agar lebih insaf. Mahu kita berfikir bahawa kehidupan didunia ini bukan semata-mata untuk kecap bahagia sepanjang masa secara percuma. Mahu kita buka mata dan minda bahawa siapalah kita ini tanpa kasih sayang dan cinta Pencipta yang Maha Agung itu.
Pernakah diantara kita berfikir betapa ‘cacatnya’ sebuah kehidupan tanpa cinta. Pernakah terbayang di mata kita bagaimana kosong, sunyi dan kontangnya jiwa tanpa cinta. Belajarlah tentang kasih sayang dan cinta. Carilah apa yang tersurat di sebaliknya, kerana disitulah terbentang sebuah kehidupan.
Kita sering bicara tentang kasih sayang dan cinta, tapi tak pernah ada huraian apa itu kasih sayang dan cinta. Kita sebenarnya mencari kasih sayang dan cinta yang bagaimana di sepanjang perjalanan kehidupan singkat di alam fana ini??? Sebenarnya, kita tak tahu apa-apa!!!!
Terlalu sedikit yang kita tahu tentang kasih sayang dan cinta. Apapun, kasihilah diri sendiri, sayangilah diri sendiri dan cintailah diri sendiri…..kemudian, belajarlah mengasihi orang lain, belajarlah menyayangi orang lain dan menyintai orang lain. Kerana kasih sayang dan cinta tak ada maknanya jika kita tak menghidupkannya dalam diri kita lalu menebarkannya untuk orang lain juga.
Tak ada sesiapa yang sempurna, makanya kita perlukan orang lain dalam hidup kita. Mengapa??? Kerana untuk melengkapkan salah satu kekurangan dalam diri kita, kita perlukan orang lain. Dalam masa yang sama kekurangan orang lain juga akan lengkap dengan kehadiran kita disisinya. Dengan kasih sayang dan cinta itu, sentiasalah berusaha untuk mencari sesuatu yang paling baik untuk diri sendiri, agar kita menjadi yang terbaik……
Bila lelaki benar2 jatuh cinta dan setia pada kekasihnya dgn ikhlas,
perubahan sikapnya amat mengejutkan. Hati lelaki yg dianggap keras selama ini, tiba2 secara semulajadi menjadi selembut kapas apabila sudah jatuh cinta dgn relanya. Bahkan lelaki yg mabuk cinta sanggup berkorban dan buat apa sahaja utk kekasihnya. Sekeras manapun hati lelaki ia akan mengalirkan air mata apabila hatinya dilukai. Utk melihat lelaki menangis amatlah payah.
Diantara tanda2 lelaki yg jatuh cinta dgn hebat ialah:
  1. Dia bersungguh2 melakukan sesuatu utk kekasihnya dgn rela bukan krn terpaksa.
  2. Dia sentiasa ingin menghiburkan kekasihnya dan berubah menjadi orang yg kuat bercakap.
  3. Dia byk menasihati kekasihnya kerana dia amat menyayangi kekasihnya.
  4. Dia berusaha mengongkong kebebasan kekasihnya krn perasaan cemburunya yg meluap2.
  5. Dia sentiasa takut kehilangan kekasihnya.
  6. Dia sentiasa mengawasi pergerakan kekasihnya krn dia sentiasa berasa curiga.
  7. Dia tidak suka ada lelaki lain rapat dgn kekasihnya.
  8. Dia mudah merasa cemburu dan sensitif apabila kekasihnya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepadanya.
  9. Adakalanya dia seperti seorang anak kecil yang meminta perhatian krn dia mahu kekasihnya melayannya lebih dari org lain.
  10. Dia menjadi org yg paling rajin dan sanggup membantu kekasihnya melakukan apa saja.
  11. Dia pandai merajuk hati krn ingin dipujuk oleh kekasihnya.
  12. Dia akan mengalabah apabila kekasihnya berjauhan daripanya terlalu lama.
  13. Dia sentiasa mempastikan keselamatan kekasihnya.
  14. Dia mementingkan kekasihnya daripada dirinya sendiri.
  15. Dia kerap bertanya adakah kekasihnya mencintainya krn dia merasa kasihnya lebih kuat drpd kekasihnya.
  16. Dia tidak akan melayan perempuan lain yg tidak ada urusan penting dengannya.
  17. Dia cuba meluangkan lebih byk masa dgn kekasihnya walaupun terpaksa menunggu kekasihnya dgn sabar.
  18. Dia membanggakan kekasihnya di depan org lain.
  19. Kalau ditinggalkan oleh kekasihnya, ia akan berasa serik dan tidak percaya dgn cinta perempuan lain namun dia sentiasa mengharap kekasihnya kembali kepadanya.
  20. Apabila timbul org ketiga, dia akan hilang akal dan sanggup berbuat apa saja untuk merebut kembali kekasihnya.
  21. Dia menganggap kekasihnya sebagai org yg paling dipercayainya dan sanggup menyerahkan harta walaupun nyawanya sendiri.
  22. Dia tidak akan berlaku curang kepada kekasihnya namun jikalau dia berbuat demikian itu bererti hatinya belum 100 peratus mencintai kekasihnya.
  23. Bukan semua lelaki sanggup menitiskan airmata hanya untuk seorang perempuan.
http://dafa.wordpress.com

Tuesday, April 19, 2011

Kita selalu bertanya dan Quran sudah menjawabnya:

Kita bertanya : Kenapa aku diuji ?
Quran menjawab:
“Apakah manusia itu dibiarkan saja mengatakan , “Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji ? dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta ." (Surah al- Ankabut, ayat 2-3)


Kita bertanya : Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan ?
Quran menjawab,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatau, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Kita bertanya : Kenapa ujian seberat ini ?
Quran menjawab,
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 286)


Kita bertanya : Kenapa mesti frust ?
Quran menjawab,
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah al-Imran, ayat 139)


Kita bertanya : Bagaimana harus aku menghadapinya ?
Quran menjawab,
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah ayat 45)


Kita bertanya : Kepada siapa aku berharap?
Quran menjawab.
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadaNya.Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” (Surah at-Taubah, ayat 129)


Kita bertanya: Apa yang aku dapat dari semua ujian ini?
Quran menjawab,
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah at-Taubah, ayat 111)


Kita berkata : Aku tak tahan!!!
Quran menjawab,
“. .dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf, ayat 87)


Kita berkata: Sampai bila aku merana begini ?
Quran menjawab,
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1518
http://layarminda2.blogspot.com/2010/06/kita-selalu-bertanya-dan-quran-sudah.html

Adab-Adab Sahabat Yang Terkhilaf : Cinta Kerana Allah

Sebelum kita bincangkan adab-adab berbeza pendapat secara panjang lebar, adalah lebih baik di sini saya nyatakan dahulu secara ringkas beberapa perkara yang boleh menyebabkan berlakunya khilaf di kalangan para ulama. Berikut disebutkan tujuh sebab kenapakah berlakunya khilaf sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di dalam kertas kerjanya bertajuk Perbezaan Pendapat di Kalangan Mazhab :

- Perbezaan Fahaman Dan Akalan Serta Kemampuan Dalam Menghasilkan Ilmu.

- Perbezaan Dalam Penguasaan Ilmu.

- Perbezaan Dalam Penguasaan Ilmu Bahasa Arab.


- Khilaf Dalam Masalah Berhujah Dengan Sumber-Sumber Fiqh.

- Khilaf Pada Kaedah-Kaedah Usuliyyah.

- Khilaf Tentang Qiraat Dalam al-Quran al-Karim.


- Khilaf Dengan Sebab Bertentangan Dalil-Dalil.

ADAB-ADAB MENGHADAPI KHILAF

Islam amat menyeru umatnya supaya mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan dan diterangkan oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. melalui lidah-lidah para ulama. Adab-adab tersebut untuk memastikan agar kehidupan manusia berada di dalam keadaan aman dan harmoni. Semua adab-adab adalah untuk mencantikkan segala amalan yang ingin dilakukan manusia. Setiap amalan akan lebih bermakna sekiranya dihiasi dengan adab-adab yang indah. Berikut di antara kata-kata ulama yang boleh kita jadikan teladan:

Berkata Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah:

Imam Qurafi berkata di dalam kitabnya al-Furuq: Ketahuilah sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan.

(Kitab: Min Adab al-Islam).

Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Fathi:

Ibnu Mubarak berkata: Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu.

(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Imam Nawawi:

Imam Shafie berkata: Sesiapa yang ingin dibukakan hatinya oleh Allah Taala maka hendaklah ia berkhalwat, sedikit makan, manjauhi daripada bergaul dengan orang bodoh dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan orang yang berilmu.

(Kitab: al-Majmuk Syarah Muhazzab).

Memandangkan betapa pentingnya akhlak dan adab di dalam Islam, maka di sini saya senaraikan beberapa adab-adab (sebenarnya banyak lagi) yang perlu ada di kalangan umat Islam hari ini bagi menghadapi isu-isu khilaf. Jika kita dapat menjaga adab-adab ini, insyaAllah segala isu khilaf ini dapat ditangani dengan baik dan harmoni. Berikut di antara adab-adab berbeza pendapat:

Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah S.A.W. Sebagai Panduan

Berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan perkara yang diperselisihkan kepada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. adalah sebaik-baik perkara yang perlu diberikan perhatian. Ini kerana al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. merupakan pegangan dan panduan utama umat Islam di dalam semua perkara. Inipati daripada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. inilah dijadikan kayu pengukur kepada sesuatu kebenaran ataupun kebatilan di dalam menghadapi perbezaan pendapat. Para ulama pula berperanan menjelaskan maksud serta bertanggungjawab memberikan kefahaman daripada dalil-dalil al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. kepada masyarakat Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah Taala dan taatlah kamu kepada Rasulullah S.A.W. dan kepada ulil amri daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantahan (berselisihan) di dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah Taala (al-Quran al-Karim) dan (as-Sunnah S.A.W.) rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah Taala dan Hari Akhirat. Demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah an-Nisa: Ayat 59).

Ikhlas

Berkata Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi:

Ikhlas ialah mengesakan al-Haq Allah Taala di dalam ketaatan beserta niat. Apa yang dikehendaki dengan ketaatan kepada Allah Taala ialah taqarrub kepadaNya tanpa sebarang benda lain seperti sifat menunjuk-nunjuk kepada makhluk, untuk mendapat pujian manusia, suka kepada pujian makhluk atau apa sahaja maksud yang selain taqarrub kepada Allah Taala.

(Kitab: al-Risalah al-Qusyairiyah).

Perbicaraan persoalan ikhlas ini sudah pastilah berkaitan rapat dengan perbahasan niat di dalam hati.Imam Nawawi meletakkan persoalan dan penjelasan niat (hadis riwayat Bukhari dan Muslim) pada permulaan bab kitabnya al-Arbain al-Nawawiyah yang menunjukkan betapa pentingnya niat di sisi Islam. Rasulullah S.A.W. juga telah mengingatkan kita betapa pentingnya menjaga hati beserta niat apabila kita terlibat secara langsung di dalam perbahasan khilaf ini.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Barangsiapa yang mencari ilmu untuk menandingi ulama atau mengalahkan orang-orang yang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan oleh Allah Taala ke dalam api neraka.

(Riwayat Tarmizi).

Mungkin ada di kalangan kita sengaja membangkitkan isu-isu khilafiyyah hanyalah bertujuan untuk bersaing dan menandingi dengan para ulama terdahulu dan masa kini di pentas masyarakat awam. Mungkin juga dengan tindakan itu mereka boleh dilihat sebagai seorang yang hebat ilmunya berbanding dengan orang lain sekaligus dapat mencuri tumpuan dan perhatian media massa dan orang ramai kepada kata-katanya. Jika inilah tujuan perdebatan dan perbahasannya maka begitu jugalah habuan dunia bakal diperolehi mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada tubuh badanmu dan tidak pula kepada rupa parasmu akan tetapi Dia melihat kepada hatimu.

(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sekecil manapun sifat riyak itu adalah kemusyrikan.

(Riwayat al-Hakim).

Tawadhuk

Tawadhuk di dalam topik ini boleh diertikan sebagai menyerah diri kepada kebenaran dan meninggalkan perbalahan yang tidak berkesudahan tentang sesuatu hukum-hakam itu. Setiap manusia perlu merasa rendah diri kerana sedar akan hakikat kelemahan dan kekurangan hamba yang tidak layak sama sekali bersifat angkuh dan bongkak. Sifat ini hanyalah layak bagi Allah Taala sahaja. Adapun tawadhuk adalah lawan kepada sifat takabbur.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya setitik zarah takabbur.

(Riwayat Muslim dan Tarmizi).

Kita perlu menjaga dan mengelakkan diri dari bersikap takabbur dan angkuh terutamanya ketika berhadapan dengan isu-isu khilaf para ulama. Memandang orang lain dengan sebelah mata lantaran merasakan diri begitu hebat adalah di antara alamat takabbur. Rendahkanlah diri terlebih dahulu sebelum terlibat dengan segala perbahasan khilaf.

Di dalam kitab Rasail al-Aimmah al-Salaf Wa Adabihim al-Ilmi karangan Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah telah menukilkan satu kisah berkenaan Imam Ubaidillah al-Hassan al-Anbari yang ditegur (untuk membetulkan kesilapannya) oleh seorang muridnya. Setelah membetulkan kesilapannya maka Imam Ubaidillah berkata:

Jika aku membetulkan kesalahanku, aku akan kelihatan lekeh. Namun aku lebih rela kelihatan berdosa di dalam perkara yang hak (benar) berbanding berkeras kepala mempertahankan pandanganku walaupun aku telah mengetahui itu adalah batil (salah).

Meninggalkan Taasub

Meninggalkan taasub di sini bermaksud meninggalkan taasub pendapat sendiri, mazhab dan golongan serta tokoh tertentu sahaja tanpa diperhatikan pendapat dan pandangan orang lain. Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qarahawi telah menjelaskan di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum:

Seseorang harus melepaskan dirinya daripada taasub terhadap pendapatnya sendiri. Ini disebabkan orang yang tidak dapat melepaskan diri daripada taasub ini akan sentiasa mempertahankan pendapatnya sendiri walaupun dia mengetahui pendapatnya salah dan lemah penjelasannya. Ia hanyalah ingin memenangkan hawa nafsunya, memandang rendah pendapat orang lain dan takut dituduh kurang kefahaman.

Sebagai seorang umat Islam yang tidak mampu untuk berijtihad maka selayaknyalah kita mengikut mana-mana pandangan dan ijtihad daripada imam-imam mazhab. Mazhab ini sebagai salah satu jalan keluar bagi golongan awam beramal dengan syariat Islam secara lebih berkesan. Namun terdapat segelintir umat Islam terutamanya masyarakat awam yang begitu taasub dengan mazhabnya lantas menyalahkan mazhab lain yang tidak secocok dengan mazhabnya. Ini merupakan satu fanomena tidak sihat yang perlu diberikan perhatian oleh setiap alim ulama setempat.

Terdapat juga segelintir dari kalangan umat Islam yang begitu taasub dengan golongan dan tokoh tertentu lantas bertindak merendah-rendah dan memperlekehkan pandangan dan pendapat lain yang tidak sealiran dengan pendapat golongan dan tokoh mereka. Jika masalah ini tidak ditangani dengan bijaksana dan adab-adab maka sudah pastilah akan berlaku perbalahan dan pergaduhan yang tidak mendatangkan nilai tambah kepada Islam. Mereka mengajak orang lain untuk tidak taasub dengan pandangan tokoh lain, namun di dalam masa yang sama mereka tidak melarang orang lain untuk bertaasub kepada mereka. Jadilah mereka juga seorang taasub!

Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi:

Anehnya mereka mengecam para pengikut mazhab kerana bertaklid kepada para imamnya sementara mereka sendiri menuntut semua orang agar bertaklid dan mengikut mereka.

(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum).

Berlapang Dada

Berlapang dada telah menjadi amalan di kalangan para ulama Salaf ketika berhadapan dengan khilaf sesama mereka. Walaupun terdapat banyak percanggahan pandangan, namun mereka tetap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain dan tidak menyebabkan ikatan perpaduan terlerai. Mereka mempunyai nilai akhlak dan adab yang tinggi selaras dengan tuntutan mendalami ilmu Tasawuf.

Berkata Syeikh Muhammad Awwamah di antara pendirian para ulama ialah:

Mazhab kami betul yang berkemungkinan ada salahnya dan mazhab selain kami salah yang kemungkinan ada betulnya.

(Kitab: Adab al-Ikhtilaf).

Berkata Imam Ahmad ketikamana ditanyakan perihal Imam Ishak:

Tidak dapat tergambar bagaimana di bumi Khurasan ini terdapat seorang tokoh seperti Ishak walaupun dia telah bersalahan pendapat dengan kami di dalam beberapa perkara. Sesungguhnya manusia sentiasa berselisih pendapat sesama mereka.

(Kitab: Risalah al-Ulfah baina al-Muslimin).

Jika diperhatikan dua contoh di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa betapa indahnya akhlak dan adab para ulama yang ditunjukkan oleh mereka kepada kita ketikamana menghadapi perbahasan khilaf ini. Namun pada masa kini terdapat sesetengah golongan yang gagal mengamalkan konsep berlapang dada lantas berasa sangat taajub dengan pandangan dan pendapat sendiri. Mereka mungkin berpegang dan beranggapan bahawa pandangan mereka sahaja sentiasa betul dan benar yang tidak mungkin salah dan pandangan orang lain sentiasa salah yang tidak mungkin ada benarnya. Bahkan mereka terlalu melampau dengan melemparkan pelbagai perkataan seperti bidaah, khurafat, sesat, kafir dan sebaginya lagi walaupun di dalam isu-isu khilafiyyah. Mereka juga tidak meraikan keadaan semasa dan setempat (Fiqh Waqi)!

Berprasangka Baik

Di antara akhlak asas yang penting di dalam pergaulan dan perhubungan sesama umat Islam ialah berprasangka baik kepada orang lain disertakan dengan tidak boleh didasari prinsip suka memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Islam melarang kita memuji-muji diri sendiri dikuatiri mendatangkan perasaan riyak dan takabbur dengan pandangan dan pendapat sendiri.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian di dalam perut ibu kamu maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

(Surah an-Najm: Ayat 32).

Prasangka buruk merupakan perangai jahat yang dikecam oleh al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. dan merupakan tegahan kepada umat Islam. Pada dasarnya kita haruslah menempatkan seseorang Islam itu sebagai orang yang soleh lagi baik dan tidak berprasangka buruk kepadanya kecuali dengan kebaikkan sahaja. Walaupun nampak sedikit kelemahannya, demi untuk memenangkan kebaikkan di atas keburukan, maka selalulah beranggapan baik sesama Islam. Sikap dan akhlak ini lebih-lebih dituntut jika berhadapan dengan khilaf dan kesalahan ijtihad para ulama.

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

(Surah al-Hujuraat: Ayat 12).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Jauhilah prasangka (buruk) kerana sesugguhnya prasangka (buruk) itu merupakan percakapan yang paling dusta.

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam perbahasan dan perbincangan perkara-perkara khilaf, anggaplah pendapat orang lain juga turut melalui analisis dan kajian yang mendalam dan mempunyai dalil-dalil yang boleh disabitkan walaupun kita tidak pernah menjumpainya. Berbaik sangka dengan menganggap kefahaman mereka berdasarkan disiplin ilmu dan kaedah-kaedah yang betul dan mempunyai niat ikhlas sepertimana kita juga. Jangan sesekali memperlekeh atau menghina pendapat ulama lain dengan sengaja menimbulkan pertikaan dan perbalahan yang tidak ada kesudahannya.

Tepislah bisikan syaitan yang menyuruh kita berburuk sangka sesama umat Islam. Peringatan ini juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius apabila berinteraksi dengan pandangan dan pendapat ulama muktabar yang lebih khusus dan tinggi kedudukannya berbanding dengan golongan awam yang bersifat umum. Peranan ulama hanyalah sebagai pewaris Rasulullah S.A.W. dan mereka benar-benar amanah di dalam mewariskan segala keilmuan mereka.

Berusaha Menyatukan Pendapat

Mencuba sedaya-upaya yang mungkin untuk mengindari permasalahan-permasalahan khilafiyyah yang boleh mendatangkan fitnah kepada golongan awam. Berpegang teguhlah dengan etika perbincangan dan hindarkan diri dari perdebatan dan perbalahan yang tidak menguntungkan Islam. Kita juga perlu berusaha untuk menyatukan pendapat yang pelbagai sekiranya ia boleh disatukan dengan didasari akhlak dan adab Islam. Ini kerana tugas menyatukan umat supaya tidak berlaku perpecahan adalah tanggungjawab bersama.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang beriman disatukan dan tiada kebaikkan bagi sesiapa yang tidak bersatu dan yang tidak disatukan.

(Riwayat Ahmad).

Memahami Konsep Perdebatan

Di dalam kitab Risalah al-Mustarsyidin menceritakan perihal seorang lelaki yang datang kepada sesetengah daripada hukamak, lelaki tersebut berkata: Aku ingin berjidal (berdebat) dengan kamu. Hukamak tersebut menjawab: Kamu boleh berdebat dengan aku sekiranya kamu menepati sepuluh syarat ini:

01. Jangan marah.

02. Tidak cuba mencari masalah.

03. Jangan kamu berbangga.

04. Jangan kamu menghukum.

05. Jangan ketawa.

06. Jangan menjadikan dakwaan kamu sebagai dalil.

07. Apabila kamu mendatangkan dalil, tujuan daripada perkara tersebut ialah untuk mencari kebenaran.

08. Apabila kamu menggunakan akal, gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu.

09. Hendaklah kamu menjadikan kebenaran itu barang yang berharga untuk umat Islam. Ambillah di mana kamu temuinya. Bukan kemenangan sebagai tujuan utama.

10. Janganlah kamu berpaling kepada orang lain kerana aku sedang bercakap dengan kamu.

BEBERAPA PENGAJARAN PENTING

Berikut saya bawakan beberapa contoh akhlak dan adab-adab yang ditunjukkan oleh para ulama ketikama berinteraksi dengan perkara khilafiyyah:

Kisah Imam Shafie

Kisah ini dinukilkan oleh Imam Syarani yang telah menceritakan bahawa Imam Shafie tidak membaca doa qunut subuh ketika menziarahi kubur Imam Hanafi. Apabila ditanyakan kepada Imam Shafie mengapakah beliau tidak membaca doa qunut, lantas Imam Shafie menjawabnya seperti berikut:

Bagaimana aku boleh membaca qunut sedangkan tuan imam (Imam Hanafi yang menghuni kubur tersebut) tidak berpendapat sedemikian (perlu membaca qunut ketika subuh). Imam Syarani berpandangan: Sesungguhnya perbuatan tersebut adalah adab terhadap imam-imam mujtahidin, beliau beradab dengan saudaranya samalah dengan beliau beradab dengan Rasulullah S.A.W. dan pengikut syariatnya.

(Kitab: al-Mazahib al-Fiqhiyyah al-Islamiyyah Wa al-Taasub al-Mazhabi).

Kisah Imam Hanbali

Ali bin Musa al-Haddad menukilkan satu kisah berkenaan Imam Ahmad bin Hanbal katanya: Suatu hari aku bersama Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muhammad bin Qudamah ketika menghadiri upacara pengkebumian. Setelah ditanam jenazah, kami mendapati seoarang lelaki buta duduk membacakan (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur. Maka berkata Imam Ahmad kepada lelaki buta tersebut: Sesungguhnya membaca (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur adalah bidaah. Setelah kami keluar dari tanah perkuburan, berkata Imam Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad: Wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Hanbali), apa pandangan engkau tentang Mubassyir al-Halabi? Imam Ahmad menjawab: Dia seorang yang dipercayai riwayatnya. Ditanya lagi (oleh Imam Muhammad bin Qudamah): Adakah engkau pernah menulis sesuatu tentangnya? Imam Ahmad membalas: Ya. Lantas Imam Muhammad berkata: Sesungguhnya aku dikhabarkan daripada Abdul Rahman bin al-Ala bin al-Hajjaj dari bapanya bahawa Mubassyir berpesan apabila dia meninggal dunia bacalah di sisi kepalanya dengan permulaan surah al-Baqarah dan penutup surah tersebut. (Kata Imam Muhammad lagi) Ini kerana Mubassyir berkata: Aku telah mendengar Ibnu Umar berpesan sedemikian. Justeru berkata Imam Ahmad: Maka pergilah dan katakan kepada lelaki buta tadi tiada masalah untuk membaca (al-Quran al-Karim dan zikir-zikir di sisi kubur).

(Kitab: Adab al-Ikhtilafat al-Fiqhiyyah).

Kisah Imam Hassan al-Banna

Syeikh Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi ada menukilkan satu kisah di dalam kitabnya Fi al-Fiqh al-Awlawiyyat berkenaan suatu kisah yang pernah berlaku kepada as-Syahid Imam Hassan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Imam al-Banna mencatatkan dalam Muzakkiratnya tentang kisah beliau menyampaikan kuliah agama ketika beliau masih berumur dua puluhan tahun. Beliau menyampaikan kuliah tersebut antara waktu Maghrib dan Isyak di satu sudut di sebuah masjid kecil. Setelah sekian waktu, kuliah tersebut telah mendapat perhatian dan para hadirin yang hadir telah bertambah. Termasuk juga yang hadir adalah di kalangan mereka yang menyimpan sikap dan pendirian lama dalam masalah khilaf dan suka membangkitkan api perdebatan.


Sehingga pada suatu malam, Imam al-Banna merasakan terdapat satu kelainan terhadap hadirin yang hadir. Seolah-olah terdapat perbezaan kelompok di kalangan para pendengar termasuk tempat duduk mereka. Pada malam tersebut, belum sempat Imam al- Banna hendaklah memulakan kuliahnya, tiba-tiba beliau telah diajukan satu soalan berikut: Apakah pandangan ustaz tentang masalah tawassul? Maka Imam al-Banna menjawab: Wahai saudaraku, aku berpandangan engkau bukan bermaksud mahu bertanya tentang masalah ini sahaja, tetapi engkau juga mahu bertanya tentang selawat selepas azan, membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz siyadah Rasul dalam tasyahhud, bagaimana kedudukan ibu bapa Nabi SAW di akhirat, sampai atau tidak bacaan al-Quran al-Karim kepada si mati, adakah perkumpulan-perkumpulan yang dibina oleh ahli tariqat itu maksiat atau qurbah dan pelbagai masalah lagi.

Imam al-Banna sengaja menyenaraikan semua perkara-perkara khilaf tersebut yang telah menyalakan api fitnah sejak sekian lama sehingga membuatkan lelaki penyoal itu tersentak. Lalu lelaki itu menjawab: Ya, aku mahukan jawapan atas kesemua soalan itu! Lalu Imam al-Banna menjawab: Wahai saudaraku, aku bukanlah seorang alim, tetapi aku seorang guru bandar yang menghafaz sesetengah ayat al-Quran al-Karim dan sesetengah hadis Nabi S.A.W. dan mengetahui beberapa hukum-hakam agama setelah merujuk kepada kitab-kitab. Lalu aku menawarkan diri untuk mengajarkan ilmu itu kepada orang ramai. Maka sekiranya engkau bertanya kepadaku soalan yang terkeluar daripada apa yang aku ketahui maka engkau telah menyukarkan aku, sedangkan barangsiapa yang mengatakan aku tidak mengetahui dia juga telah berfatwa. Sekiranya engkau merasa puas dengan apa yang aku sampaikan, dan melihat padanya ada kebaikan, maka dengarilah ia. Sekiranya engkau ingin mengetahui lebih lanjut maka bertanyalah kepada para ulama yang pakar selainku. Mereka mampu memberi fatwa terhadap apa yang kamu mahukan. Adapun aku, maka inilah kadar ilmuku, sesungguhnya Allah Taala tidak memberatkan ke atas seseorang melainkan apa yang diusahakan.

Itulah jawapan Imam al-Banna kepada lelaki tersebut dan lelaki itu pada hakikatnya tidak mendapat apa-apa jawapan daripada al-Banna. Namun dengan ucapan Imam al-Banna itu para hadirin atau kebanyakan mereka merasa berpuas hati. Lalu dengan kesempatan yang ada Imam al-Banna meneruskan ucapannya dengan berkata: Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan Syeikh Abdul Sami?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah Taala redha kepada kita untuk berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah Taala untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesama kita untuk berbuat demikian.

KESIMPULAN

Berkata Habib bin as-Syahid kepada anaknya: Wahai anakku, berkawanlah engkau dengan fukaha (orang alim), pelajarilah daripada mereka dan ambillah adab-adab yang baik daripada mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu lebih disukai disisiku daripada banyak mempelajari hadis.

(Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah).

Berkata Saidina Ali: Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal merupakan sebaik-baik sahabt dan adab sebaik-baik peninggalan.

(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

Marilah kita bersama-sama mempelajari akhlak dan adab. Sesungguhnya akhlak dan adab ini akan menjaga diri kita daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kehancuran. Lebih-lebih lagi jika kita sangat inginkan perbahasan ilmu yang mempunyai khilaf padanya. Dengan mempelajari adab maka tenanglah hati menghadapinya.

Salah seorang hukamak berkata: Tiada kemuliaan bersama buruknya adab.

(Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).

http://layarminda2.blogspot.com/2010/06/adab-adab-sahabat-yang-terkhilaf-cinta.html

Sunday, April 17, 2011

NAK KEKAL LANGSING??

Ingin Kekal Langsing

Zaman moden ini banyak jenis makanan yg mengandungi mudarat jika dimakan berlebihan. Makanan yg diproses dan juga makanan segera sering menjadi pilihan. Namun adakah kita prihatin dengan kesan sampingannya pada tubuh badan? Makanan yg ada di pasaran sering mengandungi gula dan lemak yg tersembunyi. Pengambilan secara berlebihan akan membawa kepada masalah kegemukan dan obesiti. Sebelum masalah ini terjadi pada kita, sewajarnya kita mengambil sikap berhati-hati. Manakala bagi mereka yg sedang berperang dengan masalah berat badan, jangan khuatir dan cepat putus asa kerana petua yg disarankan di bawah adalah petua yg mudah dan boleh diamalkan semua. Yang penting adalah keazaman untuk menjayakannya dan diamalkan secara berterusan dan bukan sekerat jalan. Selain itu, senaman dan mengawal nafsu makan yg keterlaluan adalah jalan terbaik untuk gaya hidup sihat. 

A. Caranya ialah mengubah cara pemakanan yang diamalkan daripada kebiasaan kepada satu kaedah yang baru iaitu: 

1. Apa yang kita ambil untuk sarapan diwaktu pagi ditukar kepada apa yang sepatutnya dimakan ditengah hari dibawa dan dimakan diwaktu pagi.
2. Pada waktu tengah hari jangan makan makan yang mengenyangkan, cukup sekadar buah- buahan atau jangan makan langsung.
3. Makan malam diawalkan dan diambil dalam lingkungan waktu jam 7.00 malam.
4. Jangan makan selepas pukul 9.00 malam walaupun anda belum makan apa apa sebelumnya. Jika perlu juga cukup sekadar segelas susu atau buah- buahan atau makanlah sedikit tetapi jangan mengambil makanan yang telah dimasak (makan berat). 

B. Cara yang kedua sebagai amalan tambahan, berpuasa 2 kali seminggu (setiap hari Isnin dan Khamis), mesti berpuasa dengan niat diwaktu malam yang kita hendak berpuasa pada hari esok. Bukan menahan lapar sahaja yang diikuti dengan makan sedikit atau minum. Pada hari ketika kita berpuasa sangat elok kita melakukan senaman. Walaupun manusia itu tahu bagaimana untuk menguruskan badannya, walaupun manusia itu memang sedar bahawa kegemukan itu mudah mengundang penyakit, namun manusia mudah lupa dan tidak berdaya untuk melakukannya lantaran tiadanya disiplin. Jadinya salahkanlah diri sendiri kerana “sikap adalah menghukum diri”. 

C. Ada satu lagi petua yg mudah diikuti. Setiap kali bangun pagi, waktu tengahari dan sebelum masuk tidur di sebelah malam, amalkan meminum secawan teh cina (hijau) yg dicampurkan dengan limau nipis atau kasturi. Insyaallah,anda akan lihat kesannya selepas 7-14 hari mengamalkannya.



sumber>>http://kelabdiet.com

Tuesday, April 12, 2011

DI MANA DIA DIHATIMU??


berkongsi cerita yg dipetik dr>>www.iluvislam.com  
Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."
Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."
Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...
p/s - di copy paste dr Artikel iluvislam.com